Artikel

PTPTN Pertimbang Henti Beri Pinjaman – Bagi Kursus Yang Miliki Rekod Bayaran Balik Rendah

Selain hadir dengan pilihan penstrukturan semula pinjaman – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini dalam pertimbangan untuk menghentikan pembiayaan ke atas kursus universiti yang memaparkan rekod kadar bayaran balik rendah.

Langkah itu antara lain akan menggalakkan lebih ramai peminjam PTPTN dan universiti tempatan bertanggungjawab akan aturan bayaran semula pinjaman. Difahamkan kursus yang miliki kadar bayaran balik kurang daripada 30% berpotensi berdepan tindakan sedemikian.

Usaha menggalakkan pembayaran semula pinjaman ini tidak sekadar terletak pada peranan PTPTN semata, namun peranan universiti terlibat juga perlu dipertingkatkan. Adanya tindakan peringatan secara berkala akan membantu kumpulan peminjam lebih peka setelah menamatkan pendidikan mereka.

Perkongsian yang dilaksanakan PTPTN pada sidang maya Khazanah Research Institute (KRI) ini adalah tindak balas perbadanan berhubung peningkatan jumlah peminjam yang masih gagal melunaskan tanggungjawab mereka. Secara menyeluruh, setakat September PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM74 bilion dan seramai 430,000 peminjam direkodkan tidak pernah lakukan sebarang pembayaran semula pinjaman.