Artikel

Mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin Meninggal Dunia Di Usia 86 Tahun

Pernah menerajui Kementerian Kewangan (MOF) pada 1984 hingga 1991 dan kali kedua pada 1999 hingga 2001 – hari ini Malaysia dikejutkan dengan perkhabaran perginya mantan Menteri Kewangan negara iaitu Tun Daim Zainuddin di usia 86 tahun susulan berdepan serangan strok baru-baru ini.

Untuk makluman umum, Tun Daim tidak sekadar memiliki pengalaman yang luas dalam skop kewangan bahkan turut mencakupi bidang perundangan dan polisi negara. Di mana beliau memiliki pendidikan Ijazah Undang-undang (Lulus Peperiksaan Peguam) dari Lincoln’s Inn serta Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar dari University of California, Berkeley.

Sebelum memasuki arena perniagaan, beliau memulakan kerjaya selaku pendidik dan selanjutnya terlibat dalam khidmat guaman pernah menjadi Majistret di Johor. Setelah meraih pengalaman yang luas maka beliau menubuhkan firma guamannya iaitu Daim, Gamani. & Co. Bermula pada aturan itu, Tun Daim mula memasuki arena perniagaan, pelaburan dan politik.