Artikel

Pelan Tangani Isu Kesesakan KL Menjelang 2030 – Dilaporkan Sukar Dicapai, DBKL Perlu Lanjutkan Masa

Berbekalkan sekitar 5 tahun sahaja lagi, negara melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan dapat menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di Lembah Klang pada 2030. Namun situasi itu dilihat sukar dicapai – berikutan jumlah kenderaan semasa di lokaliti tersebut terus meningkat secara berkala.

Tambahan sistem pengangkutan awam yang ketika ini dalam fasa pemulihan dan penambahbaikan – diperhatikan masih tidak dapat memenuhi keperluan hampir 8 juta penduduk Lembah Klang yang menggunakan kenderaan sendiri. Buat pengetahuan umum, ketersediaan sistem pengangkutan awam pada masa ini mencapai 70%, di mana ia masih belum mencukupi mengurangkan kadar kebergantungan pada penggunaan kenderaan di jalan raya.

Lanjutan tempoh penyelesaian menurut laporan Utusan bersama Jabatan Awam UPNM ini memperincikan DBKL memerlukan sekitar 10 tahun untuk merealisasikan pelan tersebut susulan masih banyak infrastruktur pengangkutan awam tidak tersedia. Ini meliputi MRT3 dan LRT3.

Namun pemain industri akui, DBKL telahpun dalam proses melaksanakan pembangunan bandar berteraskan transit (TOD). Di mana pelan itu mempelbagaikan kemudahan pengangkutan awam bersama pembinaan kediaman. Lebih ramai penduduk Lembah Klang dapat meraih akses yang lebih cekap bersama pengangkutan awam.

Biarpun agenda itu sedang diteliti, pihak industri juga mencadangkan agar pelan penyelesaian kesesakan jalan raya ini turut diperluaskan bersama industri automotif negara. Tuntutan ini dilihat memiliki relevan kerana memiliki perkaitan yang tinggi akan pembangunan jalan raya di Malaysia.

Secara menyeluruh, ketika ini mengikut Pertubuhan Pengilang Kenderaan Bermotor Antarabangsa (OICA), Malaysia mencatatkan rekod 535 kenderaan berdaftar bagi setiap 1,000 penduduk. Angka ini selari dengan jumlah semasa yang dikongsikan Kementerian Pengangkutan (MOT) :

  • Kereta – 17,244,978 unit
  • Motosikal – 16,773,112 unit
  • Kenderaan Barangan – 1,429,403 unit
  • Teksi – 84,745 unit
  • Bas – 64,021 unit
  • Kereta Sewa Pandu Sendiri – 30,318 unit
  • Kenderaan Lain – 736,410 unit

Jumlah yang dikongsikan pada Disember lalu ini jelas menunjukkan ia melepasi jumlah populasi yang terdapat di Malaysia iaitu 34.1 juta individu (Julai 2024) – namun didapati sebanyak 12.54 juta kenderaan persendirian dan perkhidmatan awam tidak lagi aktif. Ini pecahan jumlah unit kenderaan yang tidak aktif;

  • Motosikal – 8.2 juta
  • Kereta – 3 juta
  • Kenderaan Barangan – 591,625
  • Teksi – 57,127
  • Bas – 39,601
  • Kereta Pandu Sendiri – 1,915
  • Kenderaan Lain-Lain – 560,040