Artikel

32.2% Pekerja Formal Di Malaysia Terima Gaji Bawah RM2,000

Paras gaji menengah di Malaysia kini memperlihatkan prestasi yang semakin baik dalam semua sektor ekonomi negara setakat Jun 2024 – di mana telah meningkat sebanyak 5.6% kepada RM2,745 berbanding setahun yang lalu. 

Mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) Statistik Upah (Sektor Formal) ini, secara perinciannya pekerja formal lelaki di Malaysia 55.3% melibatkan 3.72 juta pekerja kini meraih gaji penengah sebanyak RM2,782 sebulan manakala wanita pula dengan 3.01 juta pekerja kini meraih gaji penengah berjumlah RM2,700 sebulan. 

Kedua jantina ini memaparkan peningkatan gaji penengah yang ketara berbanding setahun lalu dengan lelaki naik 5.2% dan wanita pula 6.8%. 

Mengikut taburan negeri pula – Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang telah menjadi 3 negeri yang berjaya lepasi paras nasional dalam penawaran gaji penengah kepada pekerja di pasaran mereka. Di mana KL mencatatkan gaji penengah tertinggi dengan RM3,982, diikuti Selangor (RM3,000) dan Pulau Pinang (RM2,800). 

Ini berbeza dengan 3 negeri yang mencatatkan gaji penengah terendah iaitu Kelantan di paras RM1,645, disusuli Perlis (RM1,682) dan Sabah (RM1,864). 

Secara menyeluruh, biarpun paras gaji penengah di kesemua sektor telah memaparkan peningkatan namun masih terdapat 32.2% daripada 6.73 jumlah pekerja formal di Malaysia kekal menerima upah bulanan di bawah RM2,000. Manakala 10% pekerja formal Malaysia menjadi kumpulan terendah yang menerima gaji sebanyak RM1,500 atau kurang pada setiap bulan. 

Sedangkan terdapatnya peningkatan 3.5% ke atas kumpulan penerima gaji RM8,800 sebulan dalam pasaran negara. Jurang ini sekaligus memperlihatkan penerima upah gaji tertinggi di pasaran negara menerima hampir 6 kali ganda gaji daripada kumpulan penerima upah terendah di pasaran Malaysia.