Artikel

Thailand Sasar Kenakan Caj 300 Baht Ke Atas Pelancong Asing – Mulai 2025

Sekiranya sebelum ini Thailand membatalkan hasrat mereka untuk mengenakan caj bayaran kepada pelancong asing – kini aturan itu akan dilaksanakan semula dengan kutipan cukai pelancongan 300 baht (RM39) ke atas pelancong asing – yang disasar dilaksana pada pertengahan tahun hadapan.

Menurut kementerian pelancongan Thailand, tindakan itu akan dikemukakan pada Januari 2025 kelak dan berupaya dikuatkuasakan selepas 6 bulan ia diteliti. Di mana setelah perancangan itu diluluskan maka kementerian akan menyenaraikan syarikat insurans untuk penawaran polisi insurans kepada pelancong asing.

Mengikut laporan BangkokPost, tindakan ini akan dilaksanakan secara berperingkat di mana fasa pertama akan dimulakan dengan pelancong perjalanan udara iaitu khidmat penerbangan.

Jumlah caj ini difahamkan meliputi perlindungan insurans premium yang memiliki had tempoh selama 30 hari buat pelancong asing.

Setelah pelaksanaan itu berjaya direalisasikan, fasa kedua pula akan dikenakan ke atas pelancong perjalanan darat. Tindakan percukaian ini dimaklumkan boleh dilunas menerusi portal rasmi dan aplikasi yang sedang dibangunkan. Dan prosedur caj cukai ini akan menuntut pelancong perjalanan udara mendaftar dan membuat pemabyaran secara atas talian sebelum memasuki Thailand.