Setakat pertengahan Oktober ini, didapati sejumlah 58 juta e-Invois telah berjaya dikeluarkan dengan libatkan penyertaan sebanyak 7,400 syarikat.
Data di bawah Kementerian Kewangan (MOF) ini jelas mencerminkan tindak-balas yang baik kalangan kumpulan syarikat untuk fasa pertama. Seperti yang umum ketahui, sejak dilancarkan pada 1 Ogos lalu – syarikat besar yang berpendapatan atau jualan tahunan lebihi RM100 juta, dituntut untuk melaksanakan e-Invois.
Melihat pada jumlah pengeluaran e-Invois terus meningkat, pihak pentadbiran menjangkakan jumlah penyertaan ini akan terus meningkat rentetan fasa kedua akan dimulakan pada 1 Januari 2025 kelak dengan syarikat yang berpendapatan tahunan antara RM25 juta sehingga RM100 juta, diikuti pelaksanaan menyeluruh bermula 1 Julai 2025 – ini termasuklah ke atas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Namun pentadbiran akui terdapat pelbagai kekangan didepani syarikat semasa – antaranya kesukaran pihak penjual untuk dapatkan maklumat Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pembeli bagi tujuan pengeluaran e-Invois. Namun bagi memudahkan pencarian tersebut, LHDN kini di maklumkan dalam usaha menyediakan medium semakan nombor TIN.
Adanya kemudahan tersebut aturan penebusan pengeluaran e-Invois dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
Lebih menarik, ada sebilangan syarikat antaranya seperti KFC telah mengeluarkan resit bersama imbasan kod QR buat para pengguna. Di mana pengguna boleh mengimbas kod QR tersebut dan sertakan No.TIN mereka bagi mendapatkan e-Invois hasil pembelian bersama syarikat.
e-Invois adalah suatu pendekatan pelaporan transaksi jualan dan belian kepada pentadbir cukai. Di pihak peniaga, inisiatif e-Invois ini dapat membantu perniagaan memiliki sistem perekodan jualan dan pembelian serta penyimpanan dokumen yang lebih teratur
