Sekiranya Capital A berjaya realisasikan pengambilalihan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X (AAX) yang dijangka akan dilaksanakan pada 16 Oktober, aturan ini dilihat akan memberi penjimatan berganda kepada kos operasi kumpulan – sekaligus dapat memberi nilai-tambah kepada pengguna, menerusi potensi pengurangan tambang penerbangan.
Makluman Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes ini pada sidang EGM hari ini menjelaskan – tindakan itu dapat dicapai susulan penjimatan kos operasi sehingga 15% berupaya diraih kumpulan menerusi penggabungan penerbangan bersama AAX. Ia sekaligus membolehkan insiatif tambang lebih rendah dapat ditawarkan kepada pengguna.
Usaha ini secara langsung, membolehkan lebih ramai pengguna menikmati perkhidmatan penerbangan AirAsia. Secara menyeluruh kesepakatan ini akan diketahui pada sidang EGM esok bersama undian pemegang saham berhubung cadangan peralihan kepentingan ekuiti Capital A dalam AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) dan AirAsia Bhd.