microLEAP, iaitu antara penyedia pembiayaan peer-to-peer (P2P) patuh syariah serta konvensional di pasaran negara kini dimaklumkan telah menerima RM100 juta – iaitu sebahagian besar dana di bawah Unit Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memacu arena lanskap ekonomi negara.
Peruntukan tersebut untuk makluman adalah sebahagian daripada Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF) yang akan memperlihatkan peranan penting microLEAP dalam merancakkan ekosistem ekonomi kalangan Bumiputera.
Sebagai perincian, program itu akan disesuaikan buat perniagaan Bumiputera yang berupaya menyediakan penyelesaian pembiayaan Islam – termasuklah libatkan pembiayaan pra-invois dan pasca invois berlandaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah menerusi Tawarruq.
Antaran sektor yang berpotensi untuk meraih manfaat dana ini adalah Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi & Digital, Elektrik & Elektronik, Pertanian & Berasaskan Agro, dan Industri Logam Nadir – yang membolehkan perniagaan ini mencapai pertumbuhan mampan dengan kadar keuntungan yang kompetitif serta mengurangkan kebergantungan mereka kepada pembiayaan konvensional.
Buat pengetahuan umum, microLEAP satu-satunya platform P2P di negara yang tersedia di luar Lembah Klang. Menerusi rantaian akses yang turut tersedia di Sabah, Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang ini, dijangka lebih ramai perniagaan Bumiputera dapat meraih sokongan bersama peruntukan TERAJU.
Menerusi pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap transaksi bersama terma 12 bulan dan kadar keuntungan yang berdaya saing – microLEAP menyasarkan akses ini berupaya memacu pertumbuhan ekonomi kalangan perniagaan Bumiputera dan lebih menarik peluang ini akan meluaskan lagi jejak mereka pada pasaran di seluruh negara.