Artikel

MAVCOM Terima 2,083 Aduan Libatkan Syarikat Penerbangan – Firefly, Batik Air & AirAsia X Paling Tertinggi

Biarpun 6 bulan pertama memperlihatkan penyusutan 32% pada jumlah aduan melibatkan syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memaklumkan pada tempoh tersebut, sebanyak 2,083 aduan (98%) telah diraih pihaknya manakala 45 aduan (2%) lagi libatkan aduan khidmat di lapangan terbang negara.

Mengikut jumlah aduan tersebut, ternyata khidmat penerbangan yang paling tinggi menerima aduan adalah Firefly dengan jumlah aduan tertinggi bagi setiap 1 juta penumpang (166 aduan), diikuti Batik Air (139) dan AirAsia X (127).

Antara kategori aduan paling tertinggi direkodkan adalah melibatkan isu pembatalan penerbangan, kesalahan pengendalian bagasi serta kelewatan penerbangan – yang secara menyeluruh menyumbang kepada 42% dari jumlah besar aduan.

Meskipun FireFly menjadi antara tertinggi, namun ia bersama Malaysia Airlines dan MASWings berjaya mencapai kadar penyelesaian lebih 90% dalam tempoh 30 hari. Aturan ini selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), ia telah ditetapkan bahawa syarikat penerbangan dan lapangan terbang dikehendaki untuk memberi maklum balas bagi setiap aduan yang diterima dalam tempoh 30 hari.

Secara menyeluruh MAVCOM untuk tempoh separuh pertama 2024 telah berjaya menyelesaikan dan menutup isu aduan sekitar 97% bagi tempoh tersebut.