Pasaran Malaysia dilihat terus membina keyakinan dari pelabur luar, apabila perancangan membangunkan pusat data di negara ini terus mendapat perhatian. Melihat pada potensi itu, industri ini dijangka berpotensi menghasilkan pulangan sekitar RM3.6 bilion menjelang 2025 pada pasaran negara.
Keyakinan ini menurut Kementerian Komunikasi tidak hanya didasari berlandaskan latarbelakang firma pelabur bahkan sasaran pelabur untuk menggandakan lagi pelaburan mereka bagi pengembangan pasaran negara turut meningkatkan lagi matlamat perolehan tersebut.
Malah dengan adanya pengukuhan ekosistem antara pusat data dan rantaian khidmat awanan ia juga dijangka dapat meningkatkan lagi kemasukan pembekal baharu industri tersebut di pasaran Malaysia.
Secara menyeluruh, Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM114.7 bilion dalam pusat data dan perkhidmatan awan dari 2021 hingga 2023, di mana menyediakan lebih 2,325 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang khusus.
Sementara bagi tahun ini pula, sejumlah RM76 bilion pelaburan berkaitan pusat data telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari 2021 hingga Mac 2024.
Berdasarkan pada penyertaan itu, antara firma gergasi yang laksana pelaburan berkaitan pusat data di negara ketika ini adalah Google, Amazon Web Services, ByteDance Systems, Bridge Data Centres, GDS ICD dan YTL Data Centre.