Artikel

Harga Purata Sewa Di Malaysia Kini Meningkat – Naik 1.8% Kepada RM1,920 

Aliran harga sewa di negara memperlihatkan peningkatan bagi 3 bulan pertama tahun 2024 – apabila secara puratanya naik 1.8% kepada RM1,920 berbanding suku pertama 2023.

Data di bawah Indeks Sewa Rumah Malaysia S1 IQI ini jelas menunjukkan dinamik kemampuan semakin meningkat sementara kadar kenaikan sewa pula semakin menurun.

Selain kemampuan faktor seperti bekalan hartanah sewa, bilangan kumpulan penyewa, musim pengajian, kemasukan warga asing serta perubahan aktiviti pelabur ke Malaysia juga turut menjadi aspek akan berlakunya perubahan paras kadar sewa di pasaran.

Berlandaskan taburan itu, IQI menjangkakan pada tempoh 12 bulan mendatang, kadar sewa disasar meningkat dengan lebih sederhana sehingga 3% berbanding rekod suku pertama 2024 ini. Persekitaran itu antaranya akan disumbang oleh permintaan sewa yang lebih tinggi berikutan kemasukan pelancong yang diperhatikan semakin meningkat.

Malah usaha negara tampil selaku hab nomad digital, juga berpotensi meluaskan lagi pasaran sewa di Malaysia.

Mengikut taburan lokasi pula, didapati KL memaparkan kenaikan 7.6% kadar sewa berbanding 2023 dengan purata sewa RM2,735. Biarpun kian melonjak, data tersebut kekal rendah berbanding suku pertama 2020 iaitu kadar sewa sebelum berlakunya krisis pandemik COVID-19.