Sekiranya sebelum ini Malaysia memiliki akses untuk mengeksport durian ke China dalam bentuk ulas dan pes pada tahun 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada tahun 2018 – kini akses tersebut telah diperluas dengan membolehkan Malaysia eksport buah durian segar ke China.
Aturan rasmi ini telah dikongsikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) setelah memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China (RRC).
Buat pengetahuan umum, langkah eksport durian ke China dalam bentuk segar memerlukan buah durian dituai sebelum tempoh matang penuh bagi memastikan kulit buah durian tidak merekah apabila tiba di negara China kelak. Perihal ini bagi menjamin kualiti pembekalan buah di pasaran.
Maka adanya tambahan akses durian segar tersebut, ia dijangka akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.
Sebagai rekod dalam tempoh 5 tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3% atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.
Di mana pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion. Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6%) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion. Negara China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022.
Menerusi perluasan ini nilai eksport durian negara diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.