Artikel

97% Pengguna BNPL Didapati Bayar Hutang Tepat Pada Waktu – Tinjauan

Ternyata kadar pematuhan pembayaran semula BNPL, Bayar Nanti Pakai Lekas di Malaysia dilihat semakin meningkat – apabila didapati sekitar 97% pengguna BNPL kekal berdisplin dengan membayar hutang mereka tepat pada masanya.

Perkongsian data Jawatankuasa CCOB (Consumer Credit Overnight Board) bersama KRI ini menjelaskan kadar pematuhan bayaran semula itu didasari berlandaskan 10 penyedia BNPL di negara yang menyediakan jumlah kredit RM1.4 bilion pada akhir suku pertama 2024.

Berdasarkan data itu, didapati hanya 3% pengguna sahaja dikategorikan sebagai kumpulan lewat pembayaran – ini termasuklah pengguna yang lewat sehari pembayaran.

Melihat pada dinamik ini, ia berpotensi didorong purata jumlah perbelanjaan pengguna yang lebih sederhana menggunakan BNPL. Di mana menurut KRI ia sekitar RM40 sehingga RM500 secara bulanan. Rekod data ini didasari berasaskan perbelanjaan pada sektor perkhidmatan, komersial, runcit, taman tema, kedai fizikal, makanan dan pengangkutan.

Data itu secara jelas mencerminkan, penyertaan BNPL masih memberi kesan yang kecil ke atas aliran hutang dalam kalangan penduduk di Malaysia – setakat suku ketiga 2023 hanya 0.1% daripada jumlah hutang penduduk negara disumbangkan BNPL (DOSM).

Malah apa yang menarik data 2022 menunjukkan, penggunaan BNPL adalah tinggi kalangan golongan muda dan pertengahan (44% pengguna), diikuti lebih 80% pengguna pula didapati berpendapatan bawah RM3,000 sebulan. Di mana jumlah kumpulan pengguna telah mencapai 2.9 juta pengguna setakat akhir September 2023.

Dan sehingga kini penggunaan BNPL terus meningkat, dengan peningkatan jumlah transaski naik 21% dan lonjakan nilai 16% bagi 9 bulan pertama 2023.

Biarpun, aliran pematuhan menunjukkan prestasi yang baik namun CCOB dan KRI kekal berwaspada akan risikonya. Seperti yang umum ketahui Malaysia kini dalam usaha melaksanakan Akta Kredit Pengguna (CCA) yang bertujuan melindungi pengguna kredit dan mengalakkan industri kredit lebih cekap dan telus pada amalan pemberian pinjaman kalangan penyedia kredit.

Menerusi penyediaan akta tersebut, ia kelak akan lebih kukuhkan penawaran kredit di pasaran negara dengan mengawalselia amalan penyedia kredit secara progresif. Aturan itu dijangka akan menyeimbangkan kawalan penawaran kredit khususnya kalangan penyedia BNPL.