Artikel

KKM Akan Kaji Cadangan Mansuh Lesen 24 Jam Kedai Makan

Rentetan terdapat gesaan kumpulan pengguna untuk pentadbiran meneliti semula waktu operasi kedai makan yang dibuka 24 jam, bagi menangani isu masalah kesihatan dan obesiti di Malaysia – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya akan perhalusi cadangan tersebut.

KKM menjelaskan pada laporan FMT, pihaknya perlu laksana sesi libat-urus bersama pihak berkepentingan untuk memahami isu tersebut secara menyeluruh, supaya aturan penyelesaian dapat dicapai dan disambut baik oleh semua pihak tanpa menjejaskan struktur ekonomi negara. Ini termasuklah membuktikan secara empirikal bahawa operasi 24 jam kedai makan menjadi antara punca utama akan masalah kesihatan di negara.

Namun cadangan tersebut seharusnya tidak tertakluk kepada pemansuhan lesen operasi semata, ia perlu diperluaskan berikutan masih ramai pekerja dalam sektor tertentu negara memerlukan perkhidmatan makanan ini – ekoran kekangan masa bertugas mereka. Maka penamatan lesen operasi 24 jam tidak seharusnya dilaksana secara pukal.

Tambahan kesedaran pengguna negara berkaitan isu kesihatan ketika ini masih lagi rendah dan seharusnya diperkasakan secara berkala. Buat pengetahuan, berdasarkan data semasa dijangka 41% penduduk dewsa Malaysia berpotensi berdepan isu obesiti menjelang 2035. Maka menerusi perluasan kesedaran kesihatan, KKM optimis ingin menurunkan kadar tersebut dan meletakkan matlamat tiada peningkatan kadar obesiti menjelang tahun hadapan, 2025.

Berbalik kepada cadangan tersebut, KKM memaklumkan pihaknya akan menyediakan kertas cadangan untuk tindakan lanjut kelak.