Dalam usaha membantu meningkatkan aliran tunai pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dimaklumkan penstrukturan semula akaun KWSP dengan pengenalan Akaun 3 akan berlaku bermula Mei ini.
Mengikut laporan TheStar, selain pelaksanaan Akaun 3 iaitu Akaun Fleksibel yang membolehkan pencarum mengeluarkan dana pada bila-bila masa – KWSP difahamkan akan menamakan semula Akaun 1 sebagai Akaun Persaraan dan Akaun 2 sebagai Akaun Sejahtera.
Pelarasan caruman pula dimaklumkan terbahagi kepada pecahan baharu dengan 75% ke Akaun 1, 15% ke Akaun 2 dan 10% ke Akaun 3. Menerusi aturan itu, laporan turut menjelaskan hanya ahli berusia bawah 55 tahun sahaja akan memiliki 3 akaun KWSP.
Sebagaimana yang dimaklumkan KWSP pada minggu ini, perincian berkenaan Akaun 3 KWSP hanya akan diumumkan sebelum akhir April kelak – susulan itu, diharap semua pencarum dapat meneliti penjelasan rasmi KWSP pada tempoh tersebut.
