Artikel

Penduduk Pulau Pinang Kini Disaran Kurangkan 10% Penggunaan Air – Sehingga Jun 2024

Dalam memastikan bekalan air di Pulau Pinang terus terjamin dan mencukupi pada tahun 2024, semua penduduk di negeri tersebut kini disarankan untuk mengurangkan 10% penggunaan air bermula April sehingga Jun kelak.

Makluman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ini menjelaskan nasihat tersebut adalah sebagai langkah keselamatan untuk semua pihak tatkala pengurusan berusaha meningkatkan simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Buat pengetahuan umum, kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang ketika ini ialah 18,240 juta liter (ML) sementara kapasiti efektif Empangan Air Itam pula 2,160ML.

Malah langkah berjaga ini susulan fenomena El Nino yang menyebabkan berlakunya cuaca panas dan kering pada suku pertama 2024 dan seterusnya akan memberi laluan kepada fenomena La Nina – yang akan perlihatkan cuaca lembab serta hujan lebat mulai Mei, Jun dan Julai 2024.

Bagaimanapun MetMalaysia meramalkan aliran hujan sederhana akan berlaku di Pulau Pinang pada tempoh tersebut dan masih tidak ketahui sama ada persekitaran hujan itu berupaya meningkatkan kapasiti efektif di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.