Jenama Apollo merupakan salah satu jenama yang tidak asing bagi ramai pengguna di Malaysia, terutamanya mereka di bangku sekolah. Terbaru, Scoop Capital Sdn Bhd telah mengambil-alih 51.31% pegangan pada syarikat Apollo Food Holdings Berhad.
Scoop Capital yang turut merupakan pemegang francais induk jenama Baskin-Robbins di Malaysia dan Singapura melalui syarikat Golden Scoop Sdn Bhd, telah mendapatkan pegangan 51.31% daripada pemegang saham utama syarikat Keynote Capital Sdn Bhd, pada nilai RM238.08 juta.
Selari dengan pengambil-alihan pegangan ini, Scoop Capital juga turut bertanggungjawab dalam menawarkan pengambil-alihan mandatori tanpa syarat untuk baki pegangan pada harga RM5.80 sesaham. Namun, Scoop Capital menyatakan mereka berhasrat untuk kekalkan status Apollo di pasaran utama Bursa Malaysia.
Untuk makluman, Apollo telah disenaraikan di bursa sejak tahun 2000 yang lepas, dan ia konsisten menjana keuntungan dan membayar dividen kepada para pelabur. Dengan pengambil-alihan ini, sama-sama kita nantikan apakah seterusnya untuk Apollo.