Umum ketahui aliran ekonomi Malaysia alami peningkatan yang lebih sederhana pada suku kedua tahun ini, meskipun berdepan pertumbuhan yang lebih perlahan paras gaji penengah kalangan pekerja formal negara dilihat terus memulih apabila kekal di paras RM2,600 setakat Jun 2023.
Data Statistik Upah Pekerja Formal Suku Kedua – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini memperlihatkan ia didorong hasil pertambahan pekerja formal dalam sektor iaitu naik 1.6% kepada 6.60 juta individu. Pertambahan ini sekaligus memperincikan 64.3% (4.24 juta individu) daripada jumlah keseluruhan adalah pekerja bergaji warganegara.
Akan tetapi berdasarkan data Jun 2023 itu, didapati 34.7% pekerja formal Malaysia kekal meraih gaji di bawah RM2,000. Walaupun data ini telah menurun sebanyak 3.6% berbanding 38.3% pada data sebelumnya. Namun ia kekal tinggi buat pekerja negara tatkala berdepan tekanan kos semasa.

Selain ketidakseimbangan itu, mengikut kategori jantina pula pekerja formal lelaki kekal dominasi pasaran negara dengan 3.66 juta individu (55.5%) bersama paras gaji penengah sebanyak RM2,645 pada Jun 2023 meningkat 5.8% berbeza dengan wanita dengan jumlah pekerja formal mewakili 2.94 juta bersama gaji penengah Jun 2023 adalah RM2,527. Ini menunjukkan terdapat perbezaan RM118 pada Jun 2023 dalam gaji penengah kedua jantina.
Sementara mengikut etnik pula, secara jelas pekerja formal Cina kekal mengungguli paras gaji penengah yang tinggi sekitar RM4,000 selama 3 bulan berturut pada suku kedua 2023. Diikuti pekerja formal India dengan paras gaji penengah RM2,500, smanakala pekerja formal Bumiputera pula hanya mencatatkan paras gaji penengah sekitar RM2,200.

Seterusnya kategori mengikut usia pula, didapati golongan muda sehingga 24 tahun kekal berdepan kesukaran dalam pasaran pekerjaan di Malaysia – apabila sekadar mencatatkan paras gaji penengah antara RM1,500 hingga RM1,700 sahaja, masih di bawah RM2,000.
Secara menyeluruh, sektor ekonomi yang kekal menawarkan paras gaji penengah yang lebih tinggi adalah Perlombongan (RM5,200), Pembinaan (RM2,700), diikuti Perkhidmatan (RM2,600), Pembuatan (RM2,464) dan Pertanian (RM1,927).
