Tahun 2024 dijangka akan memperlihatkan persekitaran yang lebih baik buat nilai mata wang negara apabila dijangka Ringgit akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ke paras RM4.40 sedolar.
Jangkaan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada sidang Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) ini didorong susulan kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada 8% berpotensi membantu menjana pendapatan tambahan buat ekonomi negara.
Aturan ini sekaligus turut berupaya meningkatkan kedudukan fiskal negara. Malah penerapan subsidi yang lebih bersasar di bawah pengenalan sistem PADU juga akan merancakkan lagi kutipan perolehan negara secara berkala. Keadaan ini akan membantu Malaysia meneroka peluang ekonomi baharu dan menambah-baik penawaran paras gaji buat penduduk negara.
Ketika ini pertumbuhan pasaran kerja di Malaysia semakin memulih dengan 16.38 juta penduduk bekerja, diikuti pertumbuhan ekonomi negara pula dijangka lebih baik pada tahun 2024 sekitar 4.3%-4.6%.