Tahap simpanan kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat masih tidak seimbang apabila didapati 48% atau 6.3 juta pencarumnya yang berusia 55 tahun ke bawah, hanya memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 pada akaun mereka, setakat akhir September lalu.
Menurut perkongsian Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Parlimen minggu ini, berlandaskan simpanan itu – ini bermakna pencarum hanya mampu berbelanja sekitar RM42 sebulan bagi tempoh 20 tahun sekiranya simpanan kekal pada amaun tersebut sewaktu mereka bersara.

Jumlah simpanan ini secara jelas menunjukkan, tindakan pengeluaran tambahan telah berlaku kalangan pencarum mengakibatkan jumlah simpanan Akaun 1 mereka masih rendah.
Situasi ini perlu diatasi segera dengan langkah pendidikan kewangan yang lebih meluas, susulan negara kelak bakal berdepan status penuaan kalangan masyarakat negara. Ia sekaligus bakal memberi impak yang besar tidak hanya ekonomi bahkan ke atas produktiviti, sosial serta tahap kesejahteraan pasaran secara berperingkat.
Antara usaha yang diusulkan adalah meningkatkan had caruman padanan kerajaan di bawah i-Saraan daripada RM300 kepada RM500, di mana ia tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi setiap individu yang layak.