Artikel

Koc Wanita : Tiada Peraturan Kenakan Denda, Hukuman Buat Penumpang Lelaki Yang Tidak Patuh – MOT

Susulan ramai pihak menyambut baik akan usaha negara meluaskan akses koc khas wanita di perkhidmatan pengangkutan tren – kini terdapat usul dikemukakan untuk Prasarana tingkatkan peraturan agar penumpang lelaki mematuhi aturan tersebut iaitu tidak menggunakan kemudahan tersebut.

Namun menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), setakat ini tiada peraturan yang diselaraskan membolehkan pihak pengendali untuk laksana sebarang denda atau hukuman ke atas penumpang lelaki yang gagal mematuhi peraturan koc wanita. Maka pihak MOT melihat pendekatan meningkatkan pemantauan, meluaskan advokasi dan memberi teguran wajar dilaksanakan dengan lebih cekap ke atas penumpang lelaki.

Setakat ini, pihaknya telah menempatkan pegawai bantuan di setiap stesen dan aturan ini akan melibatkan pemantauan pada bahagian koc wanita. Ini bermakna teguran secara terus akan dilaksanakan kepada penumpang lelaki yang kurang cakna akan akses tersebut. Usaha ini sekaligus akan memberi pendidikan secara terbuka kepada setiap penumpang, untuk lebih memahami akan kemudahan yang disediakan.

Sementara berhubung saranan meningkatkan lagi akses koc wanita ini, MOT berpendapat perkara ini perlu disemak dengan teliti. Pihaknya perlu kekal seimbang tidak hanya fokus kepada isu kesesakan tetapi perlu pastikan akses tersebut tidak menjejaskan hak penumpang lelaki pada perkhidmatan pengangkutan awam negara.