Artikel

MyBrain Diperkenal Semula, Mulai Januari 2024 – Sasar 500 Penerima Biasiswa Setiap Tahun

Bermula awal tahun 2024, Malaysia akan mengembalikan semula inisiatif dana pendidikan menerusi pengenalan MyBrain 2.0. Di mana seramai 500 individu akan menerima biasiswa ini pada setiap tahun di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Untuk makluman umum, penerima program ini akan tertumpu kepada orang awam yang tidak miliki pendapatan tetap atau tidak bekerja,  dan turut tersedia buat pensyarah IPTS untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah. Dan pemilihan penerima biasaiswa dimaklumkan akan ditapis dengan lebih ketat menerusi peringkat sesi temuduga.

Mengikut perincian, peruntukan biasiswa ini akan melibatkan sejumlah RM20 juta bagi setiap pengkhususan terutamanya dalam bidang seperti STEM – Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Malah pelajar di bawah tajaan MyBrain 2.0 ini turut diberi pilihan untuk melanjutkan pengajian mereka sama ada di IPTA mahupun IPTS tempatan. Selanjutnya prestasi mereka akan dipantau Sistem Biasiswa Bersepadu (SBB), bagi memastikan kemajuan pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.

Selain penawaran biasiswa, KPT turut memaklumkan sejumlah RM1,000 sebulan akan diberi kepada kumpulan penerima ini untuk membantu mereka menampung kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian berlangsung.

Secara menyeluruh, permohonan untuk akses ini akan diperincikan kelak untuk pengamatan awam dan bakal dibuka mulai Januari 2024.


Buat pengetahuan umum, sebelum ini negara telahpun melaksanakan MyBrain15 pada tahun 2011. Bagaimanapun ia telah ditamatkan pada tahun 2016 dan kini telah dijenamakan semula kepada MyBrain 2.0 – memberi akses dana pendidikan kepada rakyat negara yang berkelayakan.