Artikel

Khidmat LRT Kelana Jaya Disasar Lebih Cekap, Kekerapan 3 Minit Menjelang Akhir Oktober – MOT

Senada dengan usaha negara untuk tingkatkan penggunaan pengangkutan awam dari 20% ke 40% – beberapa langkah kini sedang diusahakan pengurusan negara, antaranya menggantikan tren gerabak serta penyelenggaraan sokongan pada beberapa laluan perkhidmatan.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), ketika ini sekitar 3 tren empat gerabak baharu telah memulakan operasi pada September lalu, sementara 16 unit tren lagi dimaklumkan akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024 kelak.

Menerusi pembaharuan tren itu, ia sekaligus bakal meningkatkan kecekapan perkhidmatan tren di negara. Setakat ini kekerapan laluan LRT Kelana Jaya pada waktu puncak telah bertambah-baik dari 4.4 minit pada Disember 2022 kepada 3.8 minit pada September lalu. Maka melalui usaha berterusan itu, MOT menjangkakan LRT Kelana Jaya akan mencapai kekerapan terbaik sekitar 3 minit menjelang akhir Oktober 2023 ini.

Selain pembaharuan tersebut, Prasarana juga akan laksana beberapa tindakan penggantian komponen tren untuk meningkatkan ketersediaan operasi perkhidmatan LRT dan MRT. Disusuli perkhidmatan Rapid Bus akan ditambahbaik dengan penambahan jumlah bas dan pelaksanaan laluan bas terpilih. Aturan ini sekaligus akan membantu negara tingkatkan kualiti khidmat dan menggalakkan lagi masyarakat untuk gunakan perkhidmatan awam.