Aliran perdagangan borong dan runcit di pasaran negara ketika ini diperhatikan semakin meningkat apabila mencatatkan lonjakan 6.7% kepada nilai jualan RM142,5 bilion bagi prestasi tahun ke tahun – untuk data Ogos 2023.
Prestasi yang positif ini mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong hasil sumbangan subsektor perdagangan borong yang telah naik 6.2% (RM3.7 bilion) kepada RM63.9 bilion. Perkembangan itu turut berlaku dalam jualan runcit kepada RM60.5 bilion, diikuti jualan kenderaan bermotor kepada RM18.1 bilion.
Sebagai perincian, pertumbuhan positif dapat dilihat pada subsektor runcit seperti Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (5.7%), Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan (8.9%), Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau (13.3%), Jualan Runcit Barangan Isi Rumah (1.9%), Jualan Runcit di Gerai & Pasar (7.1%), Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi (0.5%) dan Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar (1.3%).
Sementara sumbangan positif subsektor perdagangan borong pula dicetuskan oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau (8.1%), Jualan Borong Barangan Isi Rumah (5.4%), Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup (7.9%), dan Perdagangan Borong Tanpa Pengkhususan (6.3%).
