Rentetan tindakan MYAirline telah melaksanakan penangguhan operasi secara mengejut pada pagi ini, beberapa operasi penerbangan lain kini telah tampil menawarkan perkhidmatan kepada pengguna yang terjejas – ianya meliputi khidmat Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air.
Malaysia Airlines menerusi syarikat induknya Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan pihaknya kini menawarkan bantuan kepada penumpang MYAirline yang terkandas – di mana pengurusan MYAirline boleh mengagihkan senarai penumpang mereka pada operasi Malaysia Airlines untuk laluan KL-Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Bangkok.
Manakala AirAsia pula menawarkan diskaun 50% tambang buat pengguna MYAirline yang terjejas sehingga 30 November ini. Tawaran tersebut menurut AirAsia tersedia pada laluan KL, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, Don-Mueng-Bangkok serta Suvarnabhumi-Bangkok.
Diikuti Batik Air pula menyediakan tawaran harga istimewa meliputi perjalanan sehala RM129 untuk penerbangan laluan ke Pulau Pinang, RM159-Langkawi, RM199-Kuching dan RM299 bagi Bangkok dan Don Muang. Menurut Batik Air penawaran ini turut tersedia sah sehingga 30 November kelak.
Maka melalui aturan bantuan sedemikian, diharap semua pengguna MYAirline yang terjejas boleh dapatkan bantuan dan mengurangkan kerugian bersama syarikat penyedia penerbangan tersebut.