Artikel

Kadar Pengangguran Turun Kepada 3.4% – Kini Seramai 577,300 Penganggur Malaysia Dicatatkan

Jumlah penganggur di Malaysia bagi Ogos 2023 kini dilihat semakin menurun apabila seramai 19,900 individu berjaya menempatkan diri pada pasaran pekerjaan menjadikan bilangan penganggur negara menurun kepada 577,300 penganggur (3.4%)

Penurunan ini menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diimbangi dengan peningkatan jumlah penduduk bekerja negara, yang kini mencatatkan seramai 16.35 juta individu di Malaysia. 

Manakala berdasarkan pecahan taraf pekerjaan pula, didapati jumlah pekerja yang bekerja sendiri terus meningkat kepada 2.97 juta individudiikuti 12.3 juta pula berstatus pekerja sahaj, 491,700 individu pula adalah  pekerja keluarga tanpa gaji dan 571,900  pula berstatus majikan. 

Peningkatan jumlah penduduk bekerja ini secara langsung memaparkan pengangguran kalangan belia telah menurun kepada 10.8% kepada 309,200 individu bagi belia yang berusia 15 tahun sehingga 24 tahun.

Sementara berdasarkan dinamik tempoh pengangguran pula, kategori pengangguran aktif (individu yang aktif mencari pekerjaan) pula telah menurun kepada 80% manakala 20% pula adalah penganggur tidak aktif. Mengikut pecahan itu, sekitar 61.3% penganggur aktif telah menganggur kurang dari 3 bulan, 21.3% pula kurang dari 6 bulan, 11.1% kurang dari 12 bulan dan 6.3% pula didapati menganggur lebih dari setahun.