Artikel

PLKN Bakal Diaktifkan Semula, Akan Dibentang Ke Majlis Keselamatan Negara

Bagi memastikan semangat kenegaraan terus tersemai dalam kalangan golongan muda Malaysia, pentadbiran pada tahun 2021 telah bersetuju untuk mengkaji semula pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Pada semakan itu pentadbiran kini bersetuju untuk meneruskan ia dan dijangka pendekatan baharu PLKN 3.0 bakal dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi.

Perkongsian Kementerian Pertahanan pada sidang Parlimen hari ini memaklumkan, pengaktifan semula PLKN dijangka akan melibatkan pecahan kepada Fasa 1 dan Fasa 2 – yang berpotensi dilaksanakan ketika sesi persekolahan dan selepas menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Malah dimaklumkan tempoh latihan tersebut turut akan dipendekkan kepada 45 hari sahaja dengan 90% melibatkan modul ketenteraan dan 10% modul tatanegara. Bagaimanapun tindakan itu tidak diberi perincian lanjut.

Lebih menarik disasar penjimatan lebih tinggi dapat dicapai oleh kerajaan negara. Sebagai perbandingan,  dahulu negara menggunakan lebih RM500 juta setahun untuk jayakan PLKN namun melalui pendekatan draf baharu ini – dijangka tidak lebih RM100 juta setahun akan digunakan untuk mengaktifkan semula PLKN.

Menerusi aturan itu, ia tidak sekadar untuk perkasakan perbelanjaan negara tetapi ingin memastikan pelaksanaan semula PLKN setimpal dengan usaha Malaysia untuk meningkatkan nilai kemasyarakatan dalam kalangan orang muda di masa hadapan.