Untuk mencapai matlamat negara dalam meningkatkan keselamatan jalan raya seiring dengan pertumbuhan pekerja ekonomi gig yang semakin rancak – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini telah perkenalkan Standard Malaysia (MS) 2756, Amalan Baik untuk Penyedia Platform dalam Melaksanakan Pengurusan Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya Berkaitan Pekerjaan.
Melalui pengenalan panduan ini, ia berupaya membentuk amalan baik kepada penyedia platform pekerja ekonomi gig bagi memastikan pengurusan perjalanan atau perjalanan kerja petugas mereka di bawah aturan yang lebih selamat.
Ini kerana sehingga Jun 2023 sebanyak 1,204 kes kemalangan dan 25 kematian telah dilaporkan menerusii Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) – yang melibatkan sektor pengangkutan barangan dan makan serta pengangkutan penumpang.
Lebih menyeluruh SKSPS mendapati kedua sektor berkenaan telah alami peningkatan dalam statistik laporan kemalangan sebanyak 158.9% dengan lebih 2,500 kes bagi tempoh 2021-2022. Maka menyedari kepentingan itu, Perkeso menggesa semua penyedia platform untuk tambah baik panduan keselamatan perjalanan pekerja gig, bagi melandaikan peratusan kemalangan dalam kalangan petugas mereka.
Buat pengetahuan umum, panduan ini telah diwujudkan Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama libat urus pihak berkepentingan meliputi pihak berkuasa, institusi penyelidikan, ahi akademik, badan serta persatuan profesional dan pemain industri.