Artikel

Subway Mungkin Dijual Pada Nilai Mencapai RM45 Bilion

Subway merupakan salah satu rangkaian makanan yang menghidangkan sandwich yang boleh disuaikan mengikut pilihan seseorang pengguna. Subway mempunyai sekitar 37,000 restoran di lebih 100 buah negara – termasuk Malaysia.

Terkini, ia dilaporkan, firma Roark Capital bakal mengambil-alih Subway pada nilai mencapai $9.6 bilion, iaitu hampir RM45 bilion. Roark Capital juga mempunyai rangkaian restoran lain, termasuk Arby’s dan Buffalo Wild Wings.

Subway sebelum ini telah menyatakan sedang melihat untuk menjual syarikat yang telah dimulakan pada 1965 lepas. Sejak daripadanya, beberapa firma ekuiti persendirian dikatakan telah menyatakan minat untuk mengambil-alih rangkaian restoran berkenaan.

Buat masa ini, pihak Subway tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan perkara ini. Transaksi jual-beli ini dijangka akan diumumkan seawal minggu ini.