Bagi memastikan pengukuran kemiskinan negara setimpal dengan situasi ekonomi semasa – Malaysia kini telah menyemak Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara menerusi dapatan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2022.
Di mana nilai purata PGK terbaharu telah meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 pada tahun 2019. Manakala paras purata miskin tegar pula turut meningkat kepada RM1,198 berbanding RM1,169 (2019).
Sebagai penjelasan lanjut, pelarasan PGK mengikut setiap negeri adalah berbeza – ini didorong dengan situasi kos semasa dan tahap sara hidup yang berlainan. Berdasar data di bawah – Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah telah mencatatkan paras PGK yang jauh lebih tinggi.

Sementara mengikut data kemiskinan tegar pula, terdapat 3 negeri telah memaparkan peningkatan ketara pada 2022 berbanding 2019 iaitu Kelantan (RM1,196), Sabah (RM1,218) dan Sarawak (RM1,298).

Buat pengetahuan umum, melalui kemas-kini PGK negara ini – ia meneliti pelbagai faktor berkaitan antaranya situasi sosio-ekonomi semasa, pendapatan, perbelanjaan, pola permintaan, harga barangan dan perkhidmatan serta kesan kenaikan kos sara hidup semasa.
Miskin Mutlak – adalah isi rumah berpendapatan di bawah PGK Keseluruhan (2022: RM2,589), di mana pendapatan isi rumah ini tidak mencukupi untuk penuhi keperluan asas dan bukan makanan untuk hidup sihat serta aktif.
Miskin Tegar – adalah isi rumah dalam kategori miskin yang berpendapatan di bawah PGK Makanan (2022: RM1,198)
Kemiskinan Relatif – adalah merujuk kepada taraf kehidupan masyarakat tertentu pada tempoh tersebut. Ia meliputi 50% daripada pendapatan penengah isi rumah di negara.