Berdasarkan perolehan pendapatan arena e-dagang mengikut prestasi sukuan, ternyata 3 bulan pertama 2023 menunjukkan aliran e-dagang di Malaysia telah melonjak 10.44% secara tahunan dan 1.6% secara sukuan kepada rekod pendapatan RM291.7 bilion.
Prestasi ini secara langsung menunjukkan peningkatan beerterusan berbanding suku tahunan sebelum ini. Secara menyeluruh untuk tahun lalu 2022, negara berjaya merekodkan pendapatan e-dagang sejumlah RM1.1 trilion meningkat 6.0% berbanding tahun 2021.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perbelanjaan pada platform ini telah dicetuskan oleh peningkatan transaksi pada pasaran tempatan dengan sektor pembuatan sebanyak RM104.5 bilion, diikuti pasaran antarabangsa dengan sektor perkhidmatan sebanyak RM514.4 bilion.
Sementara mengikut aliran transaksi yang disumbang penduduk negeri pula, Selangor kekal merekodkan pendapatan transaksi e-dagang tertinggi dengan RM341.4 bilion, diikuti WP Kuala Lumpur (RM239.2 bilion) dan Pulau Pinang (RM89.4 bilion).
Manakala mengikut kategori pelanggan pula, di Malaysia paling tinggi diraih melalui Business to Business (B2B) iaitu RM713.1 bilion, Business to Consumer (B2C) sebanyak RM308.9 bilion dan Business to Government (B2G) RM15.1 bilion.
