Hasil kerancakkan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI) di pasaran negara dilihat secara berperingkat mampu memberi kesan kepada arena pekerjaan tempatan. Menjelang 2030, terdapat potensi seramai 4.5 juta rakyat Malaysia hilang pekerjaan sekiranya mereka tidak menaik-taraf kemahiran berasaskan permintaan tenaga kerja semasa.
Peringatan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ini dilihat selari dengan gesaan yang pernah dikongsikan pada Forum Ekonomi Dunia 2020 bahawa lonjakan sokongan teknologi seperti AI berupaya mengurangkan kebergantungan sesebuah negara ke atas jumlah pekerja. Amaran ini meliputi industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan dan khidmat pelanggan.
Maka sekiranya Malaysia ingin kekalkan kapasiti jumlah pekerja dalam tempoh dua tahun mendatang, terdapat saranan bahawa 50% pekerja yang tersedia perlu jalani latihan kemahiran semula bagi memastikan petugas sedia ada kekal relevan dan memahami tunutan permintaan pasaran pekerjaan di masa hadapan.
Bagaimanapun KSM melihat, kemunculan sokongan teknologi baharu ini masih dapat dikawal kerana terdapat fungsinya yang memudahkan dan meningkatkan kecekapan pekerja dalam segelintir industri. Melalui gabungan peranan bersama teknologi ini ia membantu produktiviti sesebuah operasi.
Namun keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan laksana latihan kemahiran semula harus diutamakan setiap majikan. Langkah ini penting untuk memastikan pasaran pekerjaan di Malaysia terus revelan untuk semua tenaga kerja.