Walaupun ketika ini 76% rakyat Malaysia miliki aliran belanjawan, namun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tinjauan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 yang dibangunkan Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) mendapati masih terdapat segelintir pihak tidak mematuhi aturan belanjawan tersebut.
Data itu turut menunjukkan 52% masih berdepan kesukaran untuk peruntukan RM1,000 sekiranya berdepan situasi kecemasan.
Lebih membimbangkan 84% rakyat Malaysia turut didapati tiada simpanan tetap pada setiap bulan menerusi tinjauan FEN tersebut.
Menurut KWSP, situasi ini berlaku apabila rakyat Malaysia hanya menyimpan secara tetap untuk jangka pendek sahaja sebelum kumpulan ini bertindak mengeluarkan semula dana tersebut pada hujung bulan untuk menampung perbelanjaan harian mereka.
Melihat pada kesulitan ini, rakyat Malaysia disarankan untuk meningkatkan tahap celik kewangan mereka bagi membantu mengukuhkan aliran kewangan demi kesejahteraan di masa hadapan dan fasa persaraan mereka kelak.
Susulan itu, KWSP menyeru orang ramai untuk memanfaatkan aplikasi Belanjawanku untuk membantu rakyat negara memantau aliran perbelanjaan bulanan mereka. Sehingga Mei 2023 didapati aplikasi Belanjawanku telah merekodkan jumlah muat turun sebanyak 12,000.
Pada aplikasi tersebut, orang awam diberi pilihan untuk laksana perbelanjaan minimum atau kaedah Rule of Thumb iaitu pecahan komitmen (35%), keperluan (45%) dan simpanan (20%).

Menerusi usaha bersama ini akan membantu rakyat negara peka akan panduan merancang kewangan dan mengurus aliran hutang dengan lebih baik dari semasa ke semasa. Sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh rujuk aplikasi Belannjawanku pada platform App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.