Artikel

Malaysia Naik 15 Anak Tangga Pada Senarai Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia

Negara kini duduki tempat ke-26, naik 15 anak tangga pada senarai Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023. Kedudukan yang semakin positif ini jelas meningkat lebih baik berbanding 2018 di tangga ke-41 dan 2016 ditangga ke-32.

Lebih menarik kedudukan baharu itu turut meletakkan negara sebagai negara ASEAN kedua berprestasi baik setelah Singapura. Buat pengetahuan umum, LPI adalah penanda aras pada kedudukan sesebuah negara dalam mewujudkan rantaian bekalan logistik yang boleh dipercayai. Ini merangkumi kecekapan, kualiti khidmat logistik serta infrastruktur berkaitan pengangkutan dalam perdagangan antarabangsa.

Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) data ini secara langsung akan membantu negara mengenalpasti keperluan serta penambahbaikan pada aliran logistik perdagangan antarabangsa negara, termasuklah meningkatkan daya saing di peringkat dunia.

Malah edisi laporan kini turut menggunakan pendekatan perolehan data raya untuk mengukur kecekapan perdagangan di peringkat dunia. Ia didasari berasaskan sokongan kemajuan teknologi dalam meningkatkan kapasiti logistik negara pada perkapalan maritim, pengangkutan udara, pengeposan barang, kontena pada laluan sempadan.

Maka adanya penambahbaikan berterusan pada aliran logistik negara, ini sekaligus meningkatkan potensi perdagangan Malaysia di peringkat dunia dari semasa ke semasa.