Untuk meraih struktur ekonomi yang kukuh, sistem pendidikan dilihat menjadi antara instrumen penting buat negara perkasakan. Adanya akses pendidikan yang baik, ini akan membawa cerminan yang positif pada pertumbuhan di masa hadapan.
Memahami keperluan itu, bersama usaha atasi isu keciciran – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam pertimbangan mewajibkan pendidikan sekolah menengah melalui penyerahan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara.
Setakat ini, mengikut Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996 – penetapan itu hanya tertakluk bagi perolehan pendidikan sehingga Darjah 6 sahaja. Ia bermakna jika ibu bapa gagal mengikuti aturan sedemikian – mereka berpotensi berdepan denda sehingga RM5,000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Maka meneliti isu dan tuntutan semasa, KPM melihat usaha mewajibkan pendidikan ini wajar dilanjutkan ke peringkat pendidikan menengah – bagi memastikan isu keciciran tidak lagi berlaku dalam kalangan anak muda negara.
Selain merangka draf cadangan itu, KPM turut telah melaksanakan program Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11. Di mana K9 tertumpu kepada jaminan tiada keciciran bagi pelajar Darjah 1 sehingga Tingkatan 3, manakala K11 pula melibatkan kelangsungan pendidikan pelajar dari Darjah 1 sehingga Tingkatan 5.