Sebarang pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia adalah ditegaskan tertakluk di bawah peranan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM negara sejajar dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Amalan ini menurut Kementerian Kewangan (MOF) memperlihatkan MPC akan bertindak merumuskan dasar monetari negara secara autonomi bagi mengekalkan kestabilan harga serta memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dari semasa ke semasa.
Susulan itu, terdapat usul pada Parlimen yang memerlukan MOF mengawal kadar OPR ini dilihat kurang bertepatan kerana ia bukan bidang kuasa MOF dan kementerian telah menjelaskan pihaknya tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan pelarasan OPR negara.
Akan tetapi BNM melalui MPC sentiasa memahami akan tekanan kos semasa yang menghimpit rakyat negara ketika ini. Maka pada Januari lalu BNM telah bertindak mengekalkan paras OPR di 2.75%, tindakan itu secara langsung telah mengukuhkan kembali kuasa beli pengguna apabila tekanan harga kini telah menunjukkan tanda awal penurunan.
Setakat ini, pengamatan ekonomi menurut Bloomberg – dijangka BNM akan mengekalkan paras OPR dan dinaikkan kepada 3.00% pada Mei kelak. Ini bermakna terdapat potensi pengumuman OPR pada Mac ini kekal 2.75%. Selanjutnya Malaysia dijangka akan alami penurunan semula OPR hanya pada suku pertama 2024 dan dijangka kembali meningkat pada suku keempat 2024 atau awal 2025.
