Artikel

Harga Tiket Penerbangan Dijangka Kekal Tinggi

Selari dengan pemulihan industri penerbangan dunia, dijangka paras harga tiket penerbangan akan kekal tinggi ke atas pengguna – termasuklah di pasaran Malaysia.

Pemerhatian itu menurut Tony Fernandes bersama laporan Bloomberg, menjelaskan penawaran tambang tiket yang kekal tinggi ini didorong hasil lonjakan permintaan serta peningkatan nilai perjalanan udara. Setakat ini, difahamkan operasi Capital A, terdapat peningkatan 30% harga tiket penerbangan.

Makluman yang dikongsi pada sidang Festival Penerbangan Asia 2023 minggu ini turut menyatakan penawaran harga tiket adalah berdasarkan keperluan semasa dan penetapan tersebut adalah seperti sebelum pandemik COVID-19. Namun susulan krisis berlaku menjadikan harga tiket lebih rendah – secara langsung mengejutkan pengguna apabila harga kembali ke paras asal sebelum krisis.

Pengekalan harga tiket tinggi ini juga adalah antara langkah pengendali untuk meraih kembali ketirisan yang berlaku sewaktu fasa pandemik COVID-19 sebelum ini. Selain usaha memulihkan semula kerugian, peningkatan kos bahan api juga menjadi faktor kepada pengekalan harga tiket tinggi kepada pengguna.

Berdasarkan matlamat, Capital A merancang segmen penerbangan akan dapat beroperasi sepenuhnya menjelang Mei ini. Setakat ini sejumlah 150 pesawat telah memulakan operasi perkhidmatan.