Menyedari MySejahtera miliki pelbagai potensi dalam perluasan perkhidmatan awam di dalam negara, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini dalam usaha jadikan aplikasi tersebut sebagai medium kesihatan awam negara atau digital public health super apps.
Perkongsian KKM pada sidang Parlimen hari ini, menjelaskan hasrat tersebut secara langsung akan menjadikan MySejahtera sebagai platform data raya yang membantu halatuju kesihatan negara ke arah penyediaan perkhidmatan yang lebih luas.
Melalui himpunan 32 juta data kesihatan rakyat negara ini, ia akan meningkatkan lagi sasaran negara untuk pelbagai kemudahan kesihatan melalui sokongan pintar.
Setakat ini usul tersebut masih diperingkat awal dan kos pembangunan itu akan ditentu setelah kontrak tamat pada 31 Mac kelak. Sementara berhubung kos perolehan aplikasi pula, jumlah yang telah dipersetujui negara melalui tetapan siling Kementerian Kewangan dimaklumkan adalah sekitar RM160 juta.