Artikel

Belanjawan 2023 Disasar Kurangkan Cukai M40, Naikkan Cukai T20

Meskipun tiada langkah pengenalan cukai baharu buat negara, termasuklah GST – Malaysia dijangka akan kekalkan cadangan untuk laksana pemotongan cukai pendapatan buat M40 dan naikkan cukai 0.5% kepada T20 pada pembentangan Belanjawan 2023 kelak.

Jangkaan di bawah Institut Percukaian Malaysia (CTIM) ini melihat usul pengurangan cukai M40 itu bertujuan membantu kelas pertengahan untuk mengatasi tekanan kos sara hidup semasa, selain meningkatkan lagi kuasa beli mereka.

Sementara langkah menaikkan cukai T20 pula diperhatikan bertepatan dengan agenda negara untuk menampung kutipan hasil susulan agihan subsidi dan potongan cukai.

Buat pengetahuan umum, pengekalan usul ini mengambilkira pembentangan pada bajet lalu yang mengetengahkan cukai pendapatan bercukai sekitar RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak 2% untuk taksiran 2023. Ini merangkumi penurunan daripada 13% kepada 11% untuk RM50,001 hingga RM70,000 dan 21% kepada 19% untuk pendapatan RM70,001 hingga RM100,000.

Manakala kumpulan yang berpendapatan sekitar RM250,001 hingga RM400,00 pula cukai dinaikkan daripada 24.5% kepada 25%. Langkah pengekalan ini berpotensi mengukuhkan tumpuan negara untuk mengatasi isu kos sara hidup ketika ini.