Artikel

Waktu Kerja Fleksibel Bakal Dilaksana Dalam Masa Terdekat – KSM

Seperti yang umum ketahui Aturan Kerja Fleksibel tidak lama lagi membolehkan pekerja melalui pindaan Akta Kerja 1955 yang ditangguhkan ke 1 Januari kelak, memohon waktu kerja fleksibel – di mana para pekerja boleh melakukan permohonan secara bertulis kepada majikan, meliputi perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan juga tempat bekerja mereka.

Akan tetapi penetapan tersebut ditegaskan bukan bersifat paksaan buat para majikan.

Berdasarkan makluman sebelum ini, aturan tersebut menuntut majikan memberi jawapan kepada pekerja secara bertulis sama ada bersetuju atau menolak permohonan berkenaan dalam tempoh 60 hari. Majikan juga perlu memberi alasan mengapa permohonan pekerja ditolak.

Ini kerana penetapan itu adalah bertujuan meningkatkan produktiviti pekerja dan penguatkuasaan ini dilihat antara galakkan baharu pada perundangan negara. Maka para majikan tidak perlu rasa terbeban dan memiliki pilihan untuk melaksanakan sistem kerja tersebut.

Mengikut laporan, minggu lalu Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan akan memberi tumpuan pada pindaan ini dan dirancang akan dilaksana dalam tempoh terdekat, selepas penelitian dasar selesai.

Selain penguatkuasaan itu, negara juga bakal menyaksikan waktu jam bekerja seminggu Malaysia akan dikurangkan 3 jam pada tempoh yang sama. Ini bermakna waktu jam bekerja mingguan maksimum Malaysia akan dikurangkan kepada 45 jam, berbanding 48 jam sebelum ini.