Artikel

77% Kuota Rumah Bumiputera Kekal Tidak Terjual – Libat Nilai RM300,000 – RM500,000

Pasaran hartanah di Malaysia terus berdepan cabaran, apabila jumlah unit kediaman yang tidak terjual terus meningkat khususnya melibatkan kategori Bumiputera. Tahukah anda ketika ini, terdapat 77% kuota unit rumah Bumiputera yang telahpun siap dibina masih lagi tidak terjual.

Rekod ini melibatkan nilai kediaman antara RM300,000 sehingga RM500,000.

Tinjauan Rehda di bawah laporan Industri Hartanah Separuh Kedua 2024 ini jelas memaparkan situasi ini tidak sekadar menjejaskan kumpulan pemaju tetapi turut memberi tekanan kepada nilai pasaran hartanah semasa – dengan 72% daripada unit tersebut adalah kediaman yang telah pun siap dibina lebih 36 bulan iaitu 3 tahun.

Selain kategori itu, sekitar 5% melibatkan nilai rumah bawah RM300,001 pula didapati masih tidak terjual, diikuti kategori lebih RM500,001 hingga RM700,000 (3%), kategori RM700,001 sehingga RM1 juta (7%) dan lepasi RM1 juta pula 8% unit yang masih tidak terjual.

Secara menyeluruh, sekitar 23,149 unit rumah siap dibina tidak terjual pada tahun 2024 dengan anggaran nilai RM13.95 bilion – perihal ini menjadikan rumah bernilai antara RM300,000 sehingga RM500,000 menjadi komponen hartanah paling banyak tidak terjual di Malaysia pada tahun lalu.