Artikel

RM1.23 Juta Kerugian – JobStreet Malaysia Beri Amaran Waspada Penipuan Pekerjaan 

Aktiviti penipuan atas talian khususnya melibatkan penawaran kerja sambilan dilihat terus meningkat mendadak pada pasaran Asia termasuklah di Malaysia – apabila didapati sindiket penipuan atas talian ini telah mencetuskan kerugian lebih RM1.23 juta kepada negara dalam tempoh 6 bulan pada tahun 2023 ini.

Perkongsian data PDRM di bawah tinjauan JobStreet Malaysia ini menunjukkan, gejala tersebut secara langsung berupaya memberi kesan kepada imej penawaran pasaran kerja di negara.

Maka berdasarkan tindak-balas itu, pihaknya bersama syarikat induk SEEK telah menambah-baik sistem pengesahan kesahihan iklan pekerjaan di JobStreet. Di mana setakat Julai 2022 sehingga Jun 2023 sekitar 7.8 juta iklan pekerjaan pada medium mereka telah disemak, dimbas secara automatik bagi pasaran Asia Pasifik. Ternyata 10% (780,000) daripada pengiklanan pekerjaan tersebut perlu berdepan semakan berganda untuk memastikan tiada penipuan pekerjaan dipaparkan.

Pada tindakan itu, dalam tempoh tersebut lebih 2,800 iklan kerja telah berjaya dialih keluar susulan tidak menepati kriteria pemaparan iklan pekerjaan yang sahih buat pengguna JobStreet.

Rentetan melihat aktiviti penipuan ini terus berleluasa, JobStreet telah menggariskan beberapa petanda yang sering digunapakai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menarik minat pemohon pekerjaan. Antaranya menawarkan faedah pekerjaan yang tidak realistik, tidak memerlukan sebarang sesi temuduga, skop pekerjaan yang tidak lengkap serta menggaji tanpa visa pekerjaan untuk pasaran luar negara.

Susulan itu, sekiranya terdapat pemohon pekerjaan yang berdepan dengan tawaran yang digariskan ini – maka disarankan untuk tidak meneruskan permohonan pekerjaan tersebut. Dikhuatiri proses tersebut mampu mengugatkan privasi pemohon pekerjaan dan serta memanipulasi maklumat peribadi pemohon.