Dalam tempoh 17 tahun lagi, ibu kota negara – Kuala Lumpur dijangka berdepan status bandar menua pada 2040 dengan kadar penduduk warga emas lebih tinggi. Iaitu sekitar 17.3%. Angka ini sekaligus memaparkan peningkatan berterusan pada angka masyarakat tua berbanding 9.2% menjelang 2025 kelak.
Sebagai langkah persediaan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) – terdapat pertimbangan untuk perkasakan akses rumah khusus buat warga emas di KL, ini termasuklah cadangan rumah persaraan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, bantuan perubatan serta penjagaan.
Berdasarkan usul itu, dimaklumkan pembangunan rumah khusus tersebut boleh dilaksanakan dalam zon kediaman dan perdagangan. Di mana ini akan membantu menggalakkan pewujudan ruang sosial dan perolehan kemudahan awam.
Selain warga emas, kemudahan perumahan buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut akan diteliti bagi memastikan kumpulan ini turut tidak diabaikan dalam komuniti masyarakat bandar.
Maka untuk merealisasikan pertimbangan ini, DBKL melihat pelbagai penyertaan pihak berkepentingan diperlukan seperti badan profesional dan badan bukan kerajaan. Usaha itu akan mengambilkira pelbagai data melibatkan perubahan profil penduduk dan isi rumah di Kuala Lumpur.