Artikel

Kerugian Grab Terus Mengecil Kini $99 Juta – Hasil Selaraskan Kos, Permintaan Semakin Kukuh

Grab Holdings, firma teknologi Asia Tenggara yang menyajikan pelbagai perkhidmatan pengangkutan dan makanan kepada pengguna serantau kini memperlihatkan peningkatan prestasi kumpulan pada untung teras buat kali pertama – apabila nilai EBITDA (earnings before interest, taxes, depreciation, and amortization) iaitu yang mewakili pendapatan bersih syarikat memaparkan peningkatan kepada $29 juta bagi suku ketiga 2023.

Lebih menarik hasil kumpulan pula memperlihatkan lonjakan 61% kepada $615 juta. Diikuti nilai kerugian pula semakin mengecil apabila mencatatkan kerugian bersih sekitar $99 juta, lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 sekitar $342 juta menurun 71%. 

Sementara jumlah pengguna aplikasi turut naik apabila memaparkan peningkatan seramai 36 juta pengguna telah direkodkan, melonjak 7% dari tahun ke tahun berbanding 33.5 juta pada suku ketiga 2022. 

Persekitaran ini menurut notis rasmi ia di pacu hasil permintaan yang lebih kukuh pada perkhidmatan penghantaran makanan dan seru-pandu. 

Tambahan tindakan kumpulan laksana penstrukturan semula pada operasi mereka melibatkan pelarasan kos perbelanjaan dan mengecilkan insentif para petugas turut membantu kumpulan meningkatkan lagi nilai tunai operasi. 

Buat pengetahuan umum, setakat Jun lalu sekitar 11% petugasnya telah terkesan hasil tindakan pemberhentian pekerja. Meskipun pernah melalui fasa tersebut, Grab kekal optimis akan permintaan semasa dan menyasarkan pendapatan tahunan sekitar $2.31 bilion hingga $2.33 bilion kelak.