Artikel

KWSP Peruntuk RM97 Bilion Pada Pelaburan Dalam Malaysia – Bagi Tahun 2023

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal menyediakan dana yang mampan dalam pelaburan pasaran domestik, untuk tahun ini sahaja sejumlah RM97 bilion disediakan KWSP pada pelaburan domestik negara, bersamaan dengan 83% daripada jumlah peruntukan dana. 

Aturan ini untuk makluman telah dilaksanakan menerusi Panel Pelaburan KWSP berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang mengagihkan pelaburan KWSP dalam pelbagai segmen, kelas aset, berlandaskan strategi dan geografi. 

KWSP memaklumkan pihaknya akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan mengalokasikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan.

Dan langkah sedemikian telahpun dilaksanakan sejak 1951, di mana secara menyeluruh jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP telah merekodkan sebanyak RM1.082 trilion dengan 61.4% daripadanya telah dilaburkan pada pelaburan domestik. Sementara 38.6% lagi dilaksanakan dalam pelaburan luar negara. 

Adanya pemerkasaan KWSP dalam pelaburan domestik ini, ia secara langsung selari dengan matlamat baharu negara yang menginginkan jumlah pelaburan tempatan meningkat kepada 70% pada tahun ini berbanding 64% pada tahun lalu.