Jumlah dagangan Malaysia kini mencatatkan nilai RM213.0 bilion bagi data Ogos 2023. Jumlah ini sekaligus menunjukkan berlakunya kemerosotan 19.8% atau RM52.7 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.
Pertumbuhan menurun ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperlihatkan aliran eksport dan import negara turut merundum. Di mana aliran Eksport menurun 18.6% (-RM26.4 bilion) kepada RM115.2 bilion. Penurunan eksport ini diperincikan dipengaruhi oleh aliran eksport yang lebih rendah di kebanyakkan negeri.
Antaranya melibatkan Pulau Pinang (-RM9.1 bilion), Johor (-RM7.9 bilion), Selangor (-RM3.6 bilion), Sarawak (-RM2.7 bilion), KL (-RM2.5 billion), Melaka (-RM607.1 juta), Sabah (-RM484.8 juta), Kelantan (-RM253.5 juta), Terengganu (-RM191.6 juta), Perak (-RM124.7 juta), Pahang (-RM86 juta) dan Perlis (-RM26.0 juta).
Meskipun penurunan diperhatikan berlaku ke atas lokaliti eksport utama namun Pulau Pinang (28%), Johor (22.1%), Selangor (18.4%), Sarawak (7.9%) dan Kedah (4.2%) kekal menjadi pengeksport utama buat negara.
Sementara aliran Import pula telah alami kemerosotan 21.2% pada tinjauan data kali ini dan Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 27.7%, diikuti Johor (21.1%), Pulau Pinang (21.1%), KL (7.1%) dan Kedah (5.9%).
Secara menyeluruh data Ogos ini memperlihatkan eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan negara merekodkan prestasi negatif bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2023 berbanding tahun sebelumnya. Keadaan ini disusuli tekanan kos semasa dan ketidakseimbangan permintaan global yang diperhatikan terus mencabar ketika ini.