twApabila kita bercerita tentang sejarah disebalik 16 September 1963, sudah pasti tarikh ini akan membawa seluruh penduduk Malaysia mengimbau semula bagaimana terbentuknya sebuah Persekutuan Malaysia hasil gabungan melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Meskipun aturan itu mendapat tentangan dan cabaran dari Brunei, Indonesia dan Filipina namun menyentuh soal ‘gabungan’, makna inilah yang menjadikan negara pada hari ini sebagai Malaysia. Perkataan itu adalah hasil usaha gandingan negara pada tempoh tersebut dalam menjadikan Malaysia pada hari ini.
Maka bersempena Hari Malaysia kali ke-60 ini – Rnggt ingin merungkai serba ringkas berkenaan peristiwa gabungan yang pernah berlaku dalam arena ekonomi di dalam negara.
Malaysia, Brunei & Singapura Pernah Berkongsi Mata Wang Yang Sama
Sebelum wujudnya mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang mula dikeluarkan secara rasmi pada 12 Jun 1967 ini, tahukah anda negara pernah menggunakan pelbagai jenis mata wang yang berbeza. Bagaimanapun antara jenis mata wang yang unik pernah digunakan Malaysia adalah Malaya dan British Borneo Dolar iaitu mata wang yang sama turut digunapakai oleh Brunei dan Singapura pada ketika itu.
Buat pengetahuan, Malaya dan British Borneo Dolar adalah matawang Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei yang digunakan pada tahun 1953 sehingga 1967. Jenis mata wang ini terus digunakan meskipun Tanah Melayu telah kecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan ketika Gagasan Malaysia telah dibentuk pada 16 September 1963.

Namun kesan Singapura keluar daripada Malaysia, telah menyebabkan kesemua negara yang terlibat telah memutuskan untuk mengeluarkan nota mata wang sendiri. Maka pada tahun 1967 itu meskipun Malaysia telah menggunakan RM namun negara telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Pertukaran Mata Wang bersama Singapura dan Brunei.
Disebabkan perjanjian itu ketiga mata wang negara ini meliputi dolar Singapura dan dolar Brunei telah bersepakat membolehkan nilai mata wang masingkan boleh digunapakai tanpa sebarang caj dan pengecualian. Tetapi kesan ketidaktentuan ekonomi pada tahun 1973, Malaysia telah memutuskan untuk menarik diri, situasi ini berlaku kesan Amerika Syarikat pada ketika itu menurunkan nilai dolar AS berbanding nilai emas.
Dahulunya Bank Bumiputra Malaysia Berhad – Kini Dikenali CIMB Bank
Usaha Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup kumpulan Bumiputera telahpun dilaksana sejak bertahun lamanya, antaranya dapat dilihat melalui kesepakatan pada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965,yang mencadangkan membentuk sebuah bank yang dikenali sebagai Bank Bumiputra Malaysia Berhad pada Mac 1966.
Untuk makluman, pembentukan bank ini bertujuan untuk meningkatkan penyertaan ekonomi dalam kalangan kumpulan Bumiputera negara pada segmen perusahaan dan pelaburan.
Susulan itu, mengikut data Arkib Negara – bersama sokongan dana pentadbiran dan Petronas, pertumbuhan bank ini semakin maju sehinggalah ia menubuhkan anak syarikat Bumiputra Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong untuk perluaskan lagi akses pelaburan. Akan tetapi bermula dari sini, Bank Bumiputra terpalit akan isu penyelewengan yang besar berikutan berlakunya tunggakan pinjaman yang tinggi lebihi $1 bilion melibatkan pelanggan mereka dalam segmen hartanah iaitu Carrian Group. Kesan tunggakan itu difahamkan berpunca daripada kejatuhan pasaran saham Hong Kong pada era 80-an.

Berikutan isu ini akaun BMF telah diaudit dan Bank Bumiputra terpaksa menanggung kerugian yang tinggi di samping integriti bank turut tercalar teruk. Disebabkan itu Bank Bumiputra mula lalui proses penjenamaan semula dengan peringkat awal – laksana gabungan bersama Rashid Hussain Berhad, yang menguasai Development & Commerce Bank di bawah skim penggabungan bank-bank dan mula dikenali sebagai Bank-Commerce.
Selanjutnya pada tahun 2004, proses penjenamaan diteruskan dengan gabungan bersama Southern Bank dan Commerce International MErchant Bankers (CIMB), yang sekaligus menjadikan ia sehingga sekarang sebagai CIMB Bank.
Malaysia-Singapore Airlines – Suatu Gabungan Yang Berbeza Matlamat
Melalui makna ‘gabungan’, disinilah berlakunya beberapa revolusi dalam khidmat penerbangan di negara. Tahukah anda walaupun Malaysia dan Singapura tidak lagi di bawah pimpinan yang sama, namun kedua negara kekal bersama di bawah jenama penerbangan yang dikenali sebagai Malaysia-Singapore Airlines?
Semuanya bermula pada tahun Oktober 1937, ketika itu perkhidmatan di Tanah Melayu dikenali sebagai Malayan Airways, yang bertindak menghubungkan laluan antara Pulau Pinang dan Singapura di bawah kendalian syarikat Ocean Steamship. Bagaimanapun hasil penyatuan Malaysia melibatkan Singapura, Sabah dan Sarawak pada September 1963, perkhidmatan ini telah berubah kepada Malaysian Airlines Limited (MAL). Selaku penerbangan kebangsaan MAL telah bertanggungjawab menghubungkan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak, sementara Malaysia Barat pula melibatkan Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Namun setelah berlakunya kemerdekaan Singapura pada tahun 1966, kedua negara telah bertindak laksana proses penjenamaan semula syarikat penerbangan MAL kepada Malaysia-Singapore Airlines (MSA). Di sinilah kita dapat melihat matlamat khidmat penerbangan mula meluas di bawah kedua negara.
MSA mula menjejaki pasaran antarabangsa dengan menawarkan penerbangan merangkumi Manila, Perth, Sydney, Taipei, Tokyo, Chennai dan Colombo. Akan tetapi pada tahun 1971, tamatlah usaha gabungan ini disebabkan tercetus perbezaan matlamat dalam kedua pimpinan.
Ini kerana Singapura ingin memberi tumpuan kepada destinasi antarabangsa manakala Malaysia pula ingin memperkasakan perkhidmatan melibatkan domestik. Rentetan daripada perbezaan itu, kedua negara bersepakat untuk laksana perkhidmatan penerbangan secara berasingan, bermula dari detik itu wujudlah Malaysia Airlines dan Singapore Airlines seperti yang kita lihat pada hari ini.

Media Prima – Konglomerat Media Yang Diwujudkan Hasil Pemecahan Aset Media
Tatkala kita menyebut tentang televisyen, sudah pasti nama Media Prima bukanlah asing dalam kalangan penonton negara, ini kerana nama tersebut cukup sinonim dengan penduduk di Malaysia – yang berperanan dalam penyiaran televisyen free-to-air (FTA) iaitu siaran televisyen percuma untuk rakyat negara.
Tetapi tahukah anda pembentukan Media Prima ini tercetus hasil daripada pemecahan aset-aset media di bawah Sistem Televisyen Malaysia Berhad (MRCB)? Peralihan itu bermula pada tahun 2003, di mana ia telah dilancarkan dan ambil alih status MRCB penyenaraian dalam Papan Utama Bursa Malaysia.
Di bawah peralihan itu, didapati pelbagai perolehan kepentingan telah berjaya diraih Media Prima sehingga memperlihatkan ia memiliki 5 stesen radio yang terdiri daripada FlyFM, HotFM, Kool 101, MolekFM, dan EightFM. Tidak hanya itu ia juga memiliki 100% kepentingan ekuiti pada penyiaran TV3, 8TV dan lebih 98% pegangan ekuiti dalam New Straits Times Press (NSTP). Selain televisyen dan radio, Media Prima turut meneraju penerbitan akhbar, memiliki produksi, syarikat pengiklanan dan segmen digital di bawah Media Prima Digital.
Namun apa yang menarik disebalik pengukuhannya selaku konglomerat media di negara – Media Prima memperlihatkan gabungan yang unik dalam pimpinannya apabila pegangannya turut diraih oleh Aurora Mulia iaitu entiti di bawah Syed Mokhtar iaitu antara individu terkaya di Malaysia dengan kepentingan sebanyak 31.22% pada September 2019. Dan dimaklumkan dalam tempoh berkenaan peratusan pemilikan itu telah meningkat kepada 36%. Perolehan ini dimaklumkan menjadikan Syed Mokhtar selaku pemegang saham terbesar di dalam Media Prima.

Sime Darby Pernah Sertai Bank – Namun Diselamatkan RHB Bank
Siapa sangka konglomerat korporat di negara yang kini menerajui sektor automotif di Malaysia pernah menyertai arena perbankan dengan Sime Bank. Kisahnya bermula pada tahun 1996, apabila Sime Darby Berhad telah bertindak membeli bank United Malayan Banking Corporation.
Iaitu perbankan milik sekumpulan ahli perniagaan yang ditubuhkan pada 1959 dan menapak di Tanah Melayu serta Singapura. Berikutan kepesatan pertumbuhan Sime Darby, peralihan itu telah dilaksanakan untuk meluaskan lagi empayar Sime Darby dalam arena ekonomi.
Akan tetapi meskipun Sime Darby memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang, kelebihan itu tidak menjanjikan keutuhannya dalam sektor perbankan. Di mana pada suku pertama 1998, di sinilah bermulanya era kejatuhan dan kerugian Sime Bank pada suku pertama 1998. Apabila berlakunya deflasi di rantau Asia pada tempoh tersebut.
Bayangkan ketika itu, Sime Bank telah diiktiraf sebagai bank ke-6 terbesar di Malaysia namun telah berdepan kerugian yang melampau sebanyak RM1.8 bilion. Situasi kritikal itu diumumkan sendiri oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Sebagai perincian, ketika itu jumlah pinjaman Sime Bank telah mencapai RM1.2 bilion daripada jumlah portfolio pinjaman 22% yang dibenarkan oleh BNM. Ini melebihi had siling 15%. Faktor itu secara terus turut merugikan Sime Darby sekitar RM1.1 bilion. Secara menyeluruh, kegagalan tadbir urus korporat Sime Bank dan sistem pinjaman yang tidak seimbang telah menjadi punca utama kerugian tersebut tidak dapat ditampung.
Melihat pada kegagalan itu, Sime Darby akur akan penyertaan mereka dalam bidang perbankan menemui jalan buntu dan akui ia bukanlah bidang teras kepada operasi mereka. Susulan itu, Sime Darby telah bertindak menamatkan kerugian tersebut dan menggabungkan Sime Bank bersama RHB Bank pada April 1998.
