Walaupun pasaran pekerjaan di Malaysia semakin memulih dengan kadar pengangguran kini di paras 3.4%, sambil diimbangi penurunan inflasi di paras 2.4% dan jumlah tawaran pekerjaan pula semakin rancak kepada 8.83 juta jawatan pada suku kedua 2023 – namun perlu diakui masih terdapat sebahagian pekerja i negara tidak memiliki akses perlindungan yang setimpal.
Berdasarkan tinjauan semasa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati lebih 40% tenaga kerja Malaysia ketika ini, masih tidak dilindungi sebarang bentuk perlindungan sosial.
Maka pelbagai usaha perlu dilaksana segera oleh semua pihak berkepentingan, untuk memastikan akses perlindungan menjadi suatu keperluan wajib bagi setiap pekerja negara demi kesejahteraan masa hadapan mereka. Untuk usaha itu, KWSP kini sedang menggandakan usaha meluaskan liputan membantu lebih ramai pekerja mendaftar bersama KWSP.
Dalam usaha tersebut sehingga Jun 2023, sebanyak 4,429 aktiviti liputan telah berjaya dilaksanakan.
Setakat ini untuk separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan peningkatan jumlah keahlian kepada 15.90 juta. Di mana, 8.47 juta daripadanya adalah pencarum aktif dan jumlah kategori ini telah alami pertambahan ketara sekitar 467,087 pencarum aktif bagi 6 bulan pertama 2023.
Angka tersebut dilihat lebih tinggi berbanding 8 juta pencarum aktif yang dicatatkan pada separuh pertama 2022. Selain kenaikan pencarum kalangan pekerja, ahli majikan juga turut alami pertambahan sebanyak 43,084 kepada 598,871.
Jumlah ini sekaligus turut menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.8 bilion, naik 16.8% pada separuh pertama 2023.
Menerusi pertambahan ini, KWSP kekal mengalakkan ahli untuk mencarum secara sukarela untuk meningkatkan lagi tahap perlindungan persaraan mereka di masa hadapan.
Maka bagi mengimbangi jurang yang didepani segelintir pekerja yang masih tidak memiliki akses perlindungan sosial, KWSP secara berterusan menggesa kumpulan ini khususnya dalam sektor tidak formal untuk mendaftar melalui i-Saraan KWSP. Platform ini membolehkan kumpulan pekerja yang tidak miliki pendapatan tetap untuk laksana simpanan pada persaraan mereka.
Sehingga kini jumlah pencarum dalam i-Saraan telah meningkat kepada 1.07 juta pencarum – naik sebanyak 48% berbanding jumlah 725,944 pencarum pada separuh pertama 2022.