Artikel

Dasar Kenaikan Gaji Buat Pekerja Malaysia, Kini Sedang Dirangka

Memahami pelarasan gaji pada pasaran semasa tidak setara dengan kos sara hidup secara langusng menjadi kekangan buat Malaysia untuk mengapai taraf hidup yang lebih baik. Antara faktornya susulan pasaran kerja bergantung kepada keperluan tenaga kerja berkemahiran rendah. Ini sekaligus menjadi antara punca ketidakseimbangan gaji berlaku dengan nilai hasil pekerja negara yang lebih rendah didapati dalam sektor ekonomi.

Apatah lagi dibandingkan dengan negara lain, nisbah gaji pekerja (CE) Malaysia kepada KDNK masih rendah dengan 35.9% berbanding Jerman (59.4%), UK (55.5%), Australia (46.9%) dan Korea (46.8%).

Menyedari jurang ini, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini bertindak merangka beberapa pilihan berhubung dasar menaikkan gaji penduduk negara. Langkah sedemikian meliputi usaha bersama pemain industri, pemegang taruh utama seperti kerajaan, majikan serta kumpulan pekerja.

Berdasarkan proses rundingan pula, penyelesaian ini akan akan mempertimbangkan pelbagai faktor termasuklah kemampuan serta kesan kos yang perlu didepani pihak sektor swasta dan kerajaan.

Selain usaha ini, Kementerian Ekonomi turut memaklumkan antara langkah yang akan diperkasakan adalah pemaparan Statistik Gaji negara akan dilaksanakan setiap 3 bulan mulai Ogos ini. Tindakan ini secara langsung memberi gambaran sebenar dan penanda aras kepada semua pihak akan situasi pasaran pekerjaan di Malaysia.

Melalui usaha tersebut, penilaian akan membantu pasaran pekerjaan Malaysia meningkatkan daya saing mereka dan memahami nilai sebenar yang wajar diberikan kepada pekerja negara – setimpal dengan kecekapan dan produktiviti mereka.