Artikel

Hampir 89,000 Individu Guna Pinjaman GOpinjam – Bernilai RM91.1 Juta

Aliran pinjaman negara dilihat semakin rancak, tidak hanya kesan pemulihan ekonomi semasa tetapi kewujudan institusi bukan kewangan turut menyumbang pada sokongan tersebut. Antaranya seperti platform GOpinjam, didapati telah mengeluarkan nilai pinjaman berjumlah RM91.1 juta setakat akhir Mac lalu, kepada 88,620 individu.

Apa yang membimbangkan, seramai 48,741 peminjam (55%) daripada jumlah tersebut adalah golongan muda yang berusia di bawah 30 tahun. Berdasarkan jumlah ini, secara pinjaman puratanya ia memberi pinjaman sekitar RM1,500 kepada setiap individu.

Menurut semakan Kementerian Kewangan (MOF) pada data di Parlimen ini, pemberian pinjaman tersebut adalah mematuhi aturan dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Melalui platform seperti GOpinjam, ia diperhatikan membuka akses pinjaman kepada golongan yang tidak miliki akaun bank atau rekod kredit dan memerlukan pinjaman pada jumlah yang kecil.

Usaha ini dilihat berupaya mengelakkan kebergantungan sesetengah pihak untuk terlibat bersama pemberi pinjaman yang tidak berlesen.

Bagaimanapun MOF akui, akses sedemikian masih terdedah akan risiko peningkatan hutang. Berikutan itu, bagi peminjam yang berdepan kesulitan untuk melunaskan bayaran semula pinjaman Рdinasihatkan hubungi institusi kewangan terlibat dan dapatkan khidmat nasihat bersama  agensi kewangan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk penstrukturan semula pinjaman.